Salam Sejantera,
Yang dihormatiTuan-Puan/Saudara-Saudari/Para Sahabat sekalian,
Alhamdullillah, Segala Puji-pujian hanyasanya kita persembahkan kepada Allah Azzawajjalla, Rabb seluruh alam.. Salawat dan salam kepada pemimpin agung Nabi Muhammad SAW, pembawa risalah tawhid, diiutuskan untuk melaksanakan keadilan dan pembawa rahmat kepada seluruh alam.
Saya merakamkan terima kasih kepada anggota-anggota Cabang Petra Jaya yang telah memberi mandat dan kepercayaan kepada saya untuk memimpin dan mengemudi bahtera perjuangan Parti Keadilan Rakyat di cabang ini untuk penggal 2010-2013.
Sesungguhnya jawatan ini merupakan satu amanah yang harus dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan. Di dalam Al-Quran, kepemimpinan merupakan suatu taklif (tanggungjawab) dan bukan satu tashrif (kemegahan). Di dalam sebuah hadis menyebut bahawa “ Setiap kamu ialah pengembala (pemimpin) dan setiap pemimpin bertanggungjawab di atas setiap rakyat (orang di bawah tanggungjawab mereka)”.
Malah manusia diciptakan untuk menjadi khalifah di atas mukabumi iaitu untuk mentabdir dan memimpin seluruh alam. Nabi Muhammad dilantik oleh Allah untuk memimpin dan membimbing manusia kepada kehidupan yang bermakna dunia dan akhirat. Para sahabat yang ditarbiyyah (dididik) seperti Umar Al-Khattab telah muncul sebagai pemimpin yang luarbiasa kehebatan sehingga boleh menguasai dua pertiga dunia .Kendatipun hebat Umar ini, kehidupan peribadi dan keluarga beliau amat sederhana. Mereka tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menimbun harta kekayaan untuk diri dan keluarga.
Tatkala menerima jawatan sebagai Khalifah menggantikan Abu Bakar As-Siddiq, beliau menyampaikan titah ucapan kepada seluruh rakyat: Saya bukanlah orang yang terbaik dikalangan kamu. Jikalau saya betul, sokong dan ikutlah saya. Jikalau saya salah dan silap, kritik dan tegurlah saya. Salah seorang penduduk bangun berkata: Wahai Amirul mukminnin, jikalau kamu salah, akan ku luruskan kamu dengan pedang ini”.
Umar menjawab: Segala puji bagai Allah yang telah menjadikan di antara kaum ini orang-orang yang sanggup meluruskan Umar dengan ketajaaman pedang .” Sayugia, sebagai pemimpin kita harus menjadi kisah klasik ini sebagai panduan kita di dalam memimpin anggota parti dan rakyati ke arah kebaikan dan perubahan yang akan memberi manfaat kepada semua.
Apakah yang kita perjuangkan di dalam perjuangan ini? Adakah kita faham matlamat perjuangan ini? Apakah kita sekadar berkecimpung di dalam pilihanraya dan sekadar membangkang for the sake of membangkang? Bagi saya wawasan kita jelas iaitu untuk menobatkan perjuangan keadilan ke sanubari setiap rakyat khususnya di Sarawak, bumi bertuah, tempat tumpah darah kita dan tempat kita mungkin akan disemadikan... Kita juga ingin memerdekakan rakyat daripada kongkongan (hegemoni) Sang Kuku Besi yang sentiasa lapar kepada kuasa dan harta untuk kepentingan peribadi dan keluarga tanpa memperdulikan derita, dan perit jerih rakyat kebanyakan yang selama ini memberi amanah kepada mereka melaluii cara pilihanraya.
Apakah keadilan? Di dalam istilah syarak, al-adl ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Adil tidak diertikan sebagai sama rata. Al-adl ialah prinsip dan nilai Al-Quran. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah memnyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi bantuan kepada kerabat, dan Dia melarang (melakukan) perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran”. Surah An-Nahl: ayat 90
Untuk merealisasikan (menjadi kenyataan) visi (impian), saya memerlukan sokongan dan dokongan seluruh saf kepimpinanan cabang, kawasan DUN, ranting dan para anggota sekalian. Kita perlu mengeratkan ukhuwwah (persaudaraan) sesama kita dan saling bekerjasama di dalam sema perkara yang membawa kebaikan kepada rakyat. Matlamat perjuangan kita adalah untuk membanteras kemungkaran dan kebatilan, Kita perlu mengelakkan perpecahan yang membawa padah dan musibah kepada perjuangan suci ini. Perbezaan pendapat boleh diselesaikan secara musyawarah (perundingan ) dan memahami adabul ikhtilaf (adab-adab perbezaan pendapat). Malah, sesungguhnya perbezaan pendapat yang berteraskan nilai-nilai murni merupakan satu rahmat.
Kita perlu bekerja bersungguh-sungguh untuk mempastikan kemenangan kita. Kita perlu menawan jiwa dan minda rakyat agar mereka memberi sokongan majoriti kepada perjuangan kita. Strategi dan gerak kerja kita perlu mantap.. Jiwa para pejuang, aktivitis dan anggota perlu cekal menghadapi serangan bertubi-tubi lawan kita kendatipun bilangan kita mungkin sik ramai. Peristiwa Perang Badar al Kubra yang berlaku di dalam bulan Ramadhan merupakan iktibar (pengajaran ) kepada kita. Bilangan mereka hanya 330 orang berbanding 1000 orang tentera pihak musuh. Malah kelengkapan perang mereka pun juga tidak mencukupi.
Untuk memantap jiwa dan ruh kita, saya menyeru kepada semua anggota untuk taat melaksanakan perintah Allah. Ini dapat mengakrabkan hubungan di antara kita dengan Sang Pencipta kita. Ingat, Sesungguhnya Allahlah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi sesuai dengan asma ul husna (nama-namaNya) sebagai Al-Malik (Raja segala raja), Al-Qadir (yang Maha Berkuasa) , Al-Aziz (yang Maha perkasa). Ibadat solat harus menjadi keutamaan di dalam kehidupan kita. Kita tidak mungkin berjaya jika kita tidak yakin kepada pertolongan Allah. Elaklah daripada melakukan perkara yang boleh mengotorkan jiwa kita dan menjauhkan diri kita daripada rahmat Allah.
Ayuh, saudara-saudara para pejuang sekalian. kita gunakan setiap ruang di dalam kehidupan dan perjuangan untuk mencari ilmu, kemahiran dan ketrampilan. Ilmu agama (tafaqquh fid din), ilmu pengurusan, ilmu siasah (politik), ilmu strategi peperangan harus kita pelajari. Saya mengarahkan biro lalthan cabang untuk menganjurkan program berteraskan membudayakan ilmu dan laithan kepada setiap anggota cabang. Perjuangan ini tidak cukup hanya dengan semangat-semangatan ibarat kata pepatah Melayu hangat-hangat tahi manok.
Akhirul kalam, saya memohon kepada sahabat-sahabat yang telah dipilih oleh para anggota dan dilantik oleh saya agar melaksankan tugas kita penuh rasa tanggungjawab. Kita diperlanggungjawab di atas segala tindakan kita. Jatuh bangun perjuangan ini berada di pundak kita semua.
Salam reformasi, Selamat berkhidmat untuk Agama, bangsa negeri dan negara kita.
Ikhlas daripada:
ZULRUSDI BIN HAJI MOHAMAD HOL
KETUA CABANG
Termaktub pada 19hb. Oktober, 2010 bersamaan 11 Dzulkaedah 1431 H
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment